
ALOR SETAR – Polis Kedah menahan dua penjenayah yang mencuri sebuah kenderaan di Simpang Ampat, Pulau Pinang dan melarikannya ke sini pagi tadi.
Mereka yang berumur sekitar 20-an itu ditahan kira-kira 9.30 pagi berhampiran Lorong Market Buah, Pekan Cina.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata penjenayah ditahan semasa cuba meloloskan diri dengan kenderaan Toyota Hilux tersebut melalui lorong kecil setelah mengetahui kehadiran mereka dikesan pihak polis.
“Semasa cuba melarikan diri, suspek telah melanggar sebuah lori, sebuah kereta jenis Proton Wira, lapan buah motosikal dan peti elektrik milik TNB (Tenaga Nasional Berhad).
“Suspek akan diserahkan kepada polis Butterworth dan segala kertas kerja siasatan akan dibuat oleh pihak polis di sana berikutan kes awalnya dilaporkan di sana,” katanya kepada Bernama.
Adzaman berkata pemilik kereta itu membuat dua laporan polis, satu di Pulau Pinang dan satu lagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar selepas kenderaannya dijumpai semula.
Pemilik kenderaan itu Muhamad Shahrudin Idris, 44, berkata beliau menyedari keretanya hilang selepas tersedar dari tidur dan mendapati pintu rumah sewanya di Pulau Pinang terbuka.
“Sekitar pukul 5.30 pagi, saya tersedar dan mendapati pintu rumah sudah terbuka dan kunci kereta saya hilang. Saya dan seorang rakan saya yang turut berada di rumah saya lalu membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kawan.
“Kami kemudiannya mengejar kereta saya hingga ke Kuala Kedah menggunakan sistem pengesanan global (GPS) yang dipasang dalam kereta saya,” katanya.
Shahrudin yang bekerja sebagai kontraktor berkata keretanya berharga kira-kira RM100,000.
Seorang saksi di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 53, berkata beliau baru membuka kedai kira-kira pukul 9 pagi dan mendengar bunyi dentuman kuat di luar kedainya.
“Saya jenguk keluar dan nampak sebuah kereta telah melanggar peti TNB. Saya juga lihat polis sedang kejar dua orang yang ada senjata.
“Seorang lari manakala seorang lagi berada dalam kereta,” katanya. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar