Selasa, 04 Februari 2014

JKR Siasat Bangunan KDN Retak


KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya menghantar sebuah pasukan forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) ke Melaka bagi menyiasat keretakan yang berlaku pada struktur bangunan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh kelmarin.

Menterinya, Datuk Fadillah Yusof berkata, Pasukan Forensik JKR itu dihantar pagi ini untuk membuat siasatan terperinci berhubung masalah keretakan yang berlaku di kompleks berkenaan.

“Pasukan diketuai Penolong Pengarah (Forensik Struktur), Basri Che Bakar ini akan memeriksa kerosakan dan mengumpul maklumat berhubung punca kejadian berkenaan dengan data yang dikumpul akan dianalisis oleh pakar struktur dan bahan.

“Siasatan memberi tumpuan kepada keseluruhan empat blok bangunan berkenaan dan tidak hanya tertumpu kepada satu bangunan yang terlibat sahaja,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Fadillah berkata, Pasukan Forensik JKR itu akan mengenal pasti sama ada bangunan berkenaan selamat untuk diduduki dalam menentukan tindakan susulan yang perlu diambil sama ada baik pulih atau tindakan lain.

Media pada 12 November lalu melaporkan kira-kira 300 kakitangan dan orang ramai yang berada di Kompleks KDN Ayer Keroh cemas setelah diarah mengosongkan bangunan itu berikutan berlaku keretakan.

Dalam kejadian pukul 3 petang itu, semua yang berada di bangunan tersebut berpusu-pusu keluar memenuhi tempat lapang di kawasan tersebut setelah berlaku rekahan lantai dan beberapa keretakan kecil pada struktur bangunan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Muhammad Koey Abdullah dipetik berkata, kejadian berlaku apabila sebahagian lantai jubin di bilik jamuan tingkat empat bangunan tersebut tiba-tiba tercabut dan pecah. 

0 komentar:

Posting Komentar

◄ Newer Post Older Post ►
 

Copyright 2011 Bimbingan